JOHANNESBURG - Ketiadaan Nani memberi impak yang besar kepada Portugal pada aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia 2010 kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Wanderers itu, Portugal terpaksa menunggu sehingga ke babak kedua untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Mozambique.
Meskipun membariskan ramai pemain berstatus bintang, Portugal terpaksa menunggu sehingga minit ke-52 untuk mendahului menerusi gol Danny.
Hugo Almeida meletakkan Portugal pada kedudukan selesa selepas meledakkan dua gol masing-masing pada minit ke-75 dan 83.
Nani terpaksa melupakan kempen Piala Dunia 2010 selepas disahkan mengalami kecederaan tulang selangka kirinya.
Pemain sayap Manchester United yang telah meledakkan empat gol daripada 34 perlawanan untuk Portugal termasuk tiga gol pada kempen kelayakan ke Afrika Selatan akan digantikan oleh Ruben Amorim dari Benfica.
"Ia sangat menyedihkan," kata jurulatih Portugal, Carlos Queiroz.
"Tetapi perkara yang paling penting adalah misi pasukan dan kami akan bekerja sama untuk menamatkannya."
Pada masa yang sama, Queiroz turut gembira untuk melihat pemain tengah, Pepe beraksi semula selepas pemain Real Madrid itu direhatkan selama enam bulan kerana mengalami kecederaan lutut.
"Ia adalah sesuatu yang hebat. Dengan bantuan doktor Real Madrid, Persekutuan Bola Sepak Portugal (PFF) dan staf teknikal pasukan kebangsaan, kami telah melakukan tugas yang luar biasa.
"Kami perlu sanjung tugas dia dalam perlawanan dan selepas itu kami akan lihat apa yang kami peroleh."
Sementara itu, Pepe mengakui dia berasa lega kerana dapat beraksi di tengah padang.
"Saya berasa sungguh gembira untuk kembali beraksi dan saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai perubatan di Real Madrid," katanya...
No comments:
Post a Comment